Tuesday, October 25, 2011

JENIS SENAMAN & WAKTU YANG SESUAI BERSENAM DI BULAN PUASA


Waktu yang paling ideal untuk kita bersenam di bulan puasa sebenarnya bergantung kepada keselesaan dan kesesuaian masa individu itu sendiri.  Namun begitu waktu petang sebelum berbuka puasa adalah masa yang paling sesuai.   Ini kerana kekurangan cecair yang diperlukan akan dapat diganti semula sejurus selepas waktu berbuka puasa.   Aktiviti senaman ringan seperti berjalan pantas dan berbasikal sudah memadai untuk membantu membakar lemak di dalam badan.

Selain daripada waktu petang, kita juga boleh melakukan aktiviti senaman di sebelah malam iaitu selepas waktu berbuka puasa dan solat tarawikh.  Aktiviti-aktiviti yang dilakukan mestilah bersesuaian dan tidak mendatangkan kemudaratan kepada kesihatan kita.  Ini kerana makanan yang diambil sewaktu berbuka tidak dapat dihadamkan sepenuhnya. Ia mungkin akan menimbulkan ketidakselesaan kepada kita, jika terus melakukan aktiviti-aktiviti berat seperti latihan mengangkat beban dan sebagainya.

Untuk kekal cergas di bulan Ramadhan, adalah disarankan juga bagi mereka yang tidak berkemampuan atau berkeupayaan untuk bersenam atau bersukan, supaya melakukan aktiviti fizikal harian seperti mengemas rumah, berkebun, membasuh kereta dan berjalan sebagai alternatif untuk mereka cergas di bulan puasa ini untuk lebih bertenaga dan menjadikan kita berasa sihat  dan cergas.
Apa yang penting sekiranya kita ingin kekal cergas dan sihat di bulan puasa ini, amalan melakukan aktiviti fizikal dan senaman merupakan sesuatu yang perlu dititikberatkan selain daripada penjagaan makanan yang teratur. Ditambah pula dengan keberkatan dengan memperbanyakkan ibadah di bulan yang mulia ini, tidak mustahil kita akan lebih sihat daripada bulan-bulan lain.