Friday, March 1, 2013

Kisah Khalifah Umar Al-Khattab membuka Kota Al Quds


"Di sinilah hikayat kisah agung pembukaan Kota al Quds yang dilakukan Khalifah Umar al Khattab. Khalifah Islam ke-2 yang pernah mendapat gelaran al Faruq ini, dipuji Baginda salallahualaihi wasalam sebagaimana sabdanya yang bermaksud,"Sesungguhnya Allah Taala menempatkan kebenaran pada ucapan Umar dan hatinya".
Khalifah Umar al Khattab tidak pergi ke Baitul Maqdis dengan ketumbukan tentera, bukan juga dengan pakaian yang mewah-mewah dan kehebatan kerajaannya. Tetapi beliau datang dengan hanya menaiki seekor unta, dan ditemani oleh seorang P.A (personal assistant) / khadamnya sahaja. Perjalanan Umar dan khadamnya dari Madinah ke Kota al Quds, hanya cukup berbekalkan air, roti dan kurma.

Menurut riwayat, Umar dan khadamnya bergilir-gilir menaiki unta. Jika Umar menaiki unta, maka khadamnya pula akan berjalan sambil memandu pedati unta tersebut. Manakala jika khadamnya yang naik unta, Umar pula yang akan berjalan memandu pedati untanya. Setiap kali giliran dilakukan, mereka akan membaca surah Yassin sehingga tamat. Itulah yang dilakukan oleh Umar dan khadamnya sehingga sampai ke Kota al Quds.

Sebelum sampai ke Kota al Quds, Umar telah melalui khemah tentera-tentera Islam yang dipimpin oleh Abu Ubaidah bin Jarrah di Jabiya. Abu Ubaidah bin Jarrah merupakan salah seorang Sahabat Nabi yang termasuk dalam senarai 10 orang yang dijanjikan syurga. Turut bersama Abu Ubaidah ketika itu ialah Khalid bin al Walid.

Apabila tentera-tentera Islam menyedari kedatangan Umar al Khattab, mereka menyambutnya dengan penuh penghormatan. Ketika itu Umar yang memimpin pedati unta yang dinaiki oleh khadamnya. Berkali-kali khadamnya meminta agar Umar berada di atas unta sebelum sampai ke perkhemahan tentera, tetapi hal itu ditolak oleh Umar kerana kerendahan hati dan ketinggian budinya.

Apabila Abu Ubaidah melihat kaki Khalifah Umar sudah berceloreng dengan debu-debu tanah dan luka kerana perjalanan yang jauh, Abu Ubaidah dengan niat yang baik memberi cadangan kepada Umar untuk mengapitnya sehingga ke pintu Kota al Quds.

“Wahai Amiral Mukminin, jika kamu memerintah agar kami memapah dan memandu perjalananmu nescaya kami akan lakukan. Mereka (penduduk al Quds) tentu melihat kemegahan kamu sebagai Khalifah”

Tiba-tiba Umar al Khattab merenung Abu Ubaidah, salah seorang panglima Islam yang menewaskan tentera-tentera Rom Byzantine itu dengan wajah yang sangat murka atas apa yang diucapnya. Lalu terbitlah kata-kata Umar yang mahsyur kepada Abu Ubaidah,"Demi Allah. Jika bukan engkau yang mengucapkannya wahai Abu Ubaidah nescaya aku menghukummu sebagai pengajaran buat umat ini! Sesungguhnya kita semua ini adalah hina lalu kita dimuliakan Allah dengan Islam, sekiranya kita mencari kemuliaan selain Islam sudah tentu kita akan dihina oleh Allah".

Saidina Umar menolak cadangan Abu Ubaidah dan tidak memanjangkan dialog bersamanya. Umar bersama khadamnya terus berlalu pergi meninggalkan perkhemahan tentera Islam di Jabiya.

Mereka masih bergilir-gilir menaiki unta sambil menghabiskan bacaan surah Yassin. Apabila Kota al Quds semakin dekat, khadamnya memesan agar Umar terus kekal menaiki unta, sementara dia yang akan memegang pedati unta yang dinaiki Umar. Tetapi Umar tegas melarang dan mengarahkan pembantunya agar terus mengikut tempoh gantian yang ditetapkan. Kebetulan, apabila jarak mereka berdua hampir tiba ke gerbang Kota al Quds, waktu itu giliran Umar memegang tali pedati unta tersebut.

Kerumunan tentera-tentera Rom dan rakyat al Quds beragama Nasrani memenuhi Jerusalem. Mata mereka tertumpu kepada seorang pemimpin yang tidak pernah mereka lihat sepanjang sejarah peradaban dunia. Lazimnya penguasa-penguasa Rom akan membawa bala tentera dan sejumlah kebanggaan di raja seperti emas, mahkota, permaisuri, gundik-gundik dan sebagainya. Tetapi Umar sebagai khalifah, pemimpin terunggul yang berjaya menundukkan keangkuhan Rom, datang dengan baju kasar yang kurang kualitinya, lusuh dan berdebu, manakala kedua-dua kakinya berlumpur.

Umar berhenti apabila menjejaki gerbang Dimashq, salah satu pintu masuk ke Jerusalem. Kemudian terus berjalan meninggalkan unta dan khadamnya di situ, dengan penuh kehambaan kepada Allah Taala wajahnya bersemarak sinar keizzahan Islam.

Pembesar-pembesar Kristian terpegun melihat ketibaan Umar radhiAllahu anhu. Mereka semua mengandaikan Umar akan tiba dengan satu rombongan yang besar, sehebat reputasi dan namanya. Mereka terpedaya dengan sangkaan-sangkaan buruk mengenai Umar, sebaliknya Khalifah Umar hanya ditemani oleh seorang khadam setibanya di Jerusalem. Lebih mengharukan, mereka melihat Khalifah Umar yang menarik tali pedati yang ditunggang khadamnya. Mereka merasakan perbezaan yang jelas antara peribadi Khalifah Umar dengan semua Raja Kaisar yang pernah menakluk Jerusalem sebelum ini.

Samb: silverheritage
Oleh: kamal_hasan
" 

No comments:

Post a Comment