Monday, January 16, 2012

PETUA KESIHATAN


ANGGUR DAN KHASIATNYA


Sejak zaman dahulu kala, anggur telah mencuri perhatian deria kita dengan kecantikan, kemanisan dan kelazatannya, juga keupayaannya untuk menghilangkan dahaga. Kini, pakar sains penyelidikan menemui fakta baru yang menarik tentang anggur dan bagaimana ia memberi manfaat kesihatan dalam pelbagai cara.  Kebanyakan daripada penyelidikan ini menumpukan kepada kesan fitonutrien anggur, komponen tumbuhan boleh dimakan yang nampaknya memberi kesan positif ke atas kesihatan manusia.
Hasil penyelidikan semasa ke atas anggur membawa berita baik:

1.      Anggur Membekalkan Banyak Antioksidan.  Anggur semua warna kaya dengan campuran antioksidan – termasuk polifenol, seperti flavonoid dan resveratrol. Antioksidan yang sangat bermanfaat ini meneutralkan radikal bebas yang membawa mudarat untuk mencegah proses pengoksidaan yang merosakkan sel.  Bunyinya memang teknikal, tetapi hakikatnya, peneutralan radikal bebas berlaku secara semula jadi apabila kita makan makanan seperti anggur yang kaya dengan antioksidan.  Apabila radikal bebas dibiarkan bermaharajalela, keadaan yang dinamakan "tekanan oksidatif" berlaku. Tekanan oksidatif kini dikaitkan dengan banyak penyakit kronik, dan juga penuaan.

2.      Antioksidan Resveratrol Yang Menakjubkan. Anggur adalah makanan sumber utama fitonutrien yang sangat mujarab. Resveratrol adalah komponen dalam kulit anggur yang boleh didapati dalam anggur ketiga-tiga warna. Banyak kajian telah mengenal pasti resveratrol sebagai antioksidan dan antiradang yang sangat mujarab, dan berpotensi untuk memberi kesan ke atas pelbagai isu kesihatan, daripada kanser hingga Alzheimer, dengan keupayaan yang boleh memanjangkan jangka hayat.

3.      Resveratrol Menentang Kanser. Banyak kajian berjaya mengesan aktiviti anti kanser daripada resveratrol.  Hasil kajian makmal menunjukkan resveratrol menghindari kesan kanser dalam ketiga-tiga peringkat perkembangan: permulaan, pertumbuhan dan kemaraan. Resveratrol dalam anggur – tetapi bukan resveratrol yang terdapat dalam wain – juga dikaitkan dengan keupayaan mengurangkan risiko kanser payu dara.

4.      Sayangi Jantung Anda : Makan Anggur.  Kajian ke atas manusia menunjukkan bahawa pengambilan pelbagai jenis anggur boleh menyokong kesihatan jantung dengan membaiki pengedaran darah, fleksibiliti arteri dan fungsi saluran darah.  Komponen anggur juga boleh mencegah pengumpulan platelet, yang boleh menyebabkan pembentukan darah beku.

5.      Kolesteral LDL : Makan Lebih Anggur.  Anggur juga menyokong kesihatan arteri dengan mencegah pengoksidaan kolesterol "LDL" jahat, yang menjadi punca utama mendapan plak dalam arteri.

6.      Anggur Baik untuk Kurangkan Tekanan Darah Tinggi.  Kajian makmal yang dijalankan baru-baru ini mendapati tekanan darah tikus naik apabila haiwan ini diberi makanan masin. Apabila anggur ditambah ke dalam diet mereka, tekanan darah turun, fungsi jantung bertambah baik, dan keradangan seluruh badan berkurangan. Haiwan ini juga menunjukkan kurang tanda kerosakan jantung berbanding tikus yang tidak diberi anggur dalam diet mereka.

7.      Menentang Lemak? Apabila anda teringinkan sesuatu yang menyegarkan – seperti anggur – selepas menikmati makanan berat, sistem pengedaran anda mungkin cuba menghantar isyarat.  Satu kajian yang pertama kali dijalankan ke atas manusia baru-baru ini menunjukkan bahawa pengambilan anggur bersama sajian makanan berlemak mencegah kemudaratan yang dibawakan oleh lemak. Peserta kajian yang mengambil sajian makanan yang sama tetapi tidak mengambil anggur mengalami kekurangan pengaliran darah sebanyak 50%.

8.      Anggur Baik untuk Kesihatan Kolon.  Kajian yang pertama kali dijalankan ke atas pesakit kanser kolon yang makan 2 1/2 cawan anggur sehari selama dua minggu menunjukkan kekurangan 47% gen yang merangsang pertumbuhan tumor dalam kolon. Manfaat ini diamati pada tisu sihat dalam kolon pesakit, iaitu tisu bukan kanser, yang menandakan potensi peranan anggur dalam kesihatan kolon.

9.      Anggur Adalah Makanan Otak.  Hasil kajian awal nampaknya menunjukkan anggur membantu melindungi kesihatan otak dengan menentang tekanan oksidatif dan keradangan, atau dengan mensasarkan tindakan gen tertentu yang terlibat dalam penyakit otak, seperti penyakit Alzheimer dan Parkinson.

10.  Anggur Baik untuk Mata. Anggur mengandungi lutein dan zeaxantin, dua karotenoid penting untuk mengekalkan kesihatan mata bila usia kita meningkat.

11.  Anggur atau Ubat Penahan Sakit Artritis?  Ini adalah soalan yang baik.  Mengapa tidak ambil kedua-duanya?  Kajian ke atas haiwan mendapati bahawa diet yang diperkaya dengan anggur mengurangkan banyak kesakitan yang dikaitkan dengan artritis, manakala ubat Meloxicam untuk mengurangkan kesakitan tidak menunjukkan kesan ke atas kesakitan. Namun, rawatan kombinasi anggur dan Meloxicam memberi lebih banyak kelegaan berbanding pengambilan hanya salah satu daripadanya.

12.  Menyokong Kesihatan Lelaki: Prostrat bengkak amat membimbangkan lelaki pertengahan umur dan lelaki lebih tua. Beberapa kajian ke atas haiwan mendapati bahawa pengambilan anggur melindungi kaum lelaki daripada kehilangan fungsi pundi kencing yang dikaitkan dengan bengkak prostat, yang boleh menyekat sebahagian uretra (salur kencing) dan menyebabkan pundi kencing menjadi lemah. Tambahan anggur ke dalam diet memberi kesan antioksidan yang kuat dan ciri perlindungan membran yang banyak mengurangkan kerosakan pundi kencing dan memulihkan kerosakan pundi kencing yang disebabkan oleh sekatan sebahagian daripada ureta.

13.  Anggur. Khasiat Kebaikan Asas:  Anggur tidak mengandungi lemak, hampir tidak mengandungi natrium dan rendah lemak.  Anggur juga mengandungi kalium. Selain rasanya yang lazat, anggur mudah didapati dan mengekalkan kesegaran serta kegaringannya lebih lama daripada kebanyakan buah-buahan lain!

14.  Kanak-Kanak Gemar Anggur:  Lihat hasil kajian dan beri kepercayaan kepada naluri anda dan kata-kata yang keluar dari mulut anak-anak kecil anda… "Ibu, saya nak makan anggur!" Ya, kanak-kanak gemar makan anggur. Kanak-kanak menganggap anggur sebagai snek dan manisan yang menyeronokkan. Tidakkah anda lebih suka kalau anak-anak anda makan buah-buahan yang berkhasiat seperti anggur daripada mengambil snek yang kurang mengandungi nutrien dan fitonutrien?  Jawapannya ada pada anda.